Wednesday, October 12, 2011

Temubual eksklusif Utusan Malaysia Berhad bersama CEO Etiqa Takaful Berhad


Motivasi

Motivasi luaran hanya mampu bertahan 48 jam sahaja sementara motivasi dalam akan bertahan hingga ke akhir hayat.
Motive + Action = Motivation

Temubual eksklusif Utusan Malaysia Berhad bersama CEO Etiqa Takaful Berhad 

Misi ‘menginsankan’ insurans, takaful

md3


Dato’ Aminuddin Md Desa
WALAUPUN industri insurans dan takaful telah lama bertapak di negara ini namun masih ramai penduduk negara ini yang masih tidak dilindungi dengan kemudahan itu. Malah ramai yang beranggapan insurans adalah sesuatu menyusahkan dengan kerenah birokrasi dan pelbagai proses yang terpaksa dilalui sebelum sebarang tuntutan dapat dibuat.
Menyedari hakikat itu, Etiqa Insurans dan Takaful Bhd. (Etiqa) meletakkan misi untuk mengubah persepsi tersebut dan menjadikan syarikat itu berbeza daripada syarikat-syarikat insurans lain.
Wartawan Utusan Malaysia, SARAH NADLIN ROHIM yang berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa, DATUK AMINUDDIN MD. DESA memperjelaskan dengan lebih lanjut mengenai langkah membantu atau menolong insan seperti mana tujuan asal insurans.
SEJAK kebelakangan ini, Etiqa kurang mendapat pendedahan di media atau boleh dikatakan berada dalam keadaan ‘senyap’, boleh Datuk jelaskan keadaan tersebut?
Itu adalah sesuatu yang disengajakan. Kami melancarkan jenama baru pada November 2007. Tahun 2008 adalah tahun yang paling agresif untuk Etiqa memperkenalkan jenama kami dan pada tahun ini kami sedikit perlahan kerana terdapat banyak perubahan berlaku dalam industri takaful dan insurans. Kami mengambil pendekatan untuk tidak terlalu menonjol.
Apakah yang dilakukan Etiqa pada tahun ini?
Pada tahun ini kami terus mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dan ejen, tetapi hubungan awam dikurangkan sedikit. Semasa menjalankan aktiviti penjenamaan, kami di Etiqa telah mengambil pendekatan ‘Kemudahan Insan Asas Pengurusan Kami’. Ia adalah dengan cara memberi perkhidmatan yang mudah dan pantas kepada pelanggan.
Apakah strategi Etiqa pada tahun ini?
Tahun ini kami akan menukar strategi menerusi penyampaian mesej kepada lebih ramai bakal pelanggan dengan menjelaskan bahawa kami adalah jenama yang memberi kemudahan kepada insan.
Bagaimana persepsi orang ramai terhadap insurans dan takaful pada masa ini berbanding dahulu?
Menurut kajian yang dibuat pada 2006, persepsi orang ramai terhadap insurans masih lagi sama seperti 20 hingga 30 tahun dulu. Mereka masih lagi beranggapan insurans menyusahkan dengan kerenah birokrasi dan pelbagai proses yang terpaksa dilalui sebelum sebarang tuntutan dapat dibuat.
Apakah langkah untuk Etiqa mengubah persepsi ini?
Kami berhasrat mengubah persepsi ini dan menjadikan Etiqa berbeza daripada syarikat insurans lain. Kalau kita tengok sejarah, langkah membantu atau menolong insan lain telah dimulakan dengan ‘khairat kematian’ di mana penduduk kampung mengumpul wang bersama untuk membantu keluarga menguruskan jenazah ahli keluarga mereka, tanpa perlu banyak proses yang dilalui. Bagi Etiqa kami ingin mengambil pendekatan tersebut. Tujuan insurans adalah memudahkan insan.
Di manakah tahap kesedaran orang ramai mengenai insurans dan takaful.
Antara satu hingga sepuluh. Tahap kesedaran orang ramai masih lagi berada pada paras nombor tiga. Kaji selidik yang dilakukan sebelum ini melibatkan pelbagai bangsa dan tanggapan orang ramai terhadap integriti syarikat insurans masih rendah.
Adakah banyak perbezaan berlaku setelah Bank Negara Malaysia (BNM) menguatkuasakan undang-undang berkaitan syarikat insurans dan takaful?
Perubahan memang berlaku terutama ia banyak memberi perlindungan kepada pemegang polisi dan persepsi masyarakat turut berubah.
Bagaimanakah bentuk perubahan yang bakal berlaku pada Etiqa?
Etiqa ingin berubah dengan menjadi lebih telus dan jelas terhadap polisi kami dan tiada agenda terselindung. Bagi segmen takaful, tanggungjawab kami lebih berat kerana perlu menyediakan produk yang berlandaskan syariah dan kami juga merupakan penggendali takaful terbesar di Malaysia. Etiqa kini mengambil peranan untuk ‘menginsankan’ insurans dan takaful.
Sebagai contoh sekiranya berlaku kematian pemegang polisi, kami telah memberi kebenaran kepada wakil Etiqa untuk menyumbangkan sejumlah wang kepada keluarga si mati bagi menguruskan jenazah tanpa perlu mengisi borang atau sebagainya. Ia terletak dalam kategori manfaat kematian.
Selain itu, apa perbezaan lain antara Etiqa dan pesaing yang lain?
Dari segi produk kami mempunyai berpuluh-puluh produk. Etiqa turut memberi bayaran kepada pemegang polisi yang mengalami kemalangan apabila mereka menghubungi pihak Etiqa tanpa perlu mengisi borang atau sebagainya. Hanya dengan satu panggilan telefon, mereka boleh menerima bayaran tanpa banyak soal.
Sekiranya Etiqa berbuat begitu, tidakkah Datuk bimbang dengan masalah penipuan?
Kami mengambil pendekatan sekiranya pelanggan boleh mempercayai syarikat dengan membayar sejumlah wang pada setiap bulan, kenapa syarikat tidak boleh mempercayai pelanggan. Katakanlah dalam 100 orang, hanya seorang yang membuat tuntutan palsu, kenapa perlu syarikat menghukum 99 pelanggan lagi yang betul-betul memerlukan duit tersebut.
Etiqa ingin berubah dan bergerak ke arah lebih banyak membantu pelanggan. Apa yang boleh saya katakan, di mana terdapat ruang yang boleh digunakan untuk membantu pelanggan kami akan ambil, namun kami masih lagi tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh BNM.
Bagaimana dengan produk-produk baru pada tahun 2010?
Kini Etiqa sedang memantapkan produk-produk kami. Insy-Allah, pada 2010 produk-produk kami lebih berbentuk kemanusiaan, tetapi Etiqa masih belum mengenal pasti berapa banyak produk yang akan dilancarkan pada tahun hadapan. Produk- produk itu akan menepati jenama kita.
Dari segi penguasaan pasaran, di manakah kedudukan Etiqa pada waktu ini?
Penguasaan pasaran kami semakin meningkat. Bagi tahun kewangan lalu, segmen perniagaan takaful telah memantapkan kedudukan kami sebagai nombor satu dengan merekodkan perolehan sebanyak RM1.4 bilion berbanding RM1 bilion sebelumnya.
Dari segi perniagaan keseluruhannya iaitu perniagaan takaful dan am, Etiqa adalah nombor satu di Malaysia. Kedudukan Etiqa bagi perniagaan baru iaitu insurans nyawa dan keluarga masih berada pada kedudukan nombor dua, tahun hadapan kami berharap kedudukan tersebut akan berubah.
Faktor apa yang akan menyebabkan perubahan tersebut?
Kita perlu menjana perniagaan baru dan ia hanya akan dapat dicapai apabila keupayaan kita mantap dengan menghidupkan jenama Etiqa dari segi amalan dan ia akan dibantu dengan pengenalan produk-produk baru. Sasaran kami adalah memantapkan kedudukan dalam industri takaful dengan penguasaan pasaran sekurang-kurangnya 50 peratus serta mengekalkan kedudukan nombor satu dalam insurans am dan takaful am.
Barapa banyak agensi yang dimiliki Etiqa dan apakah perancangan pada masa hadapan?
Jumlah keseluruhan adalah 24,000. Perancangan yang sedang dibuat oleh Etiqa pada masa ini adalah seperti mempertingkatkan infrastruktur dalam talian serta meningkatkan produktiviti bagi mendapatkan akses besar dalam pasaran. Kakitangan kami pada masa ini adalah sebanyak 2,000 orang sahaja.
Bagaimana prestasi keseluruhan mereka?
Kami mempunyai program yang dikenali sebagai 5012 yang bermaksud Etiqa bakal melahirkan 50 jutawan insurans menjelang tahun 2012. Iaitu ejen individu yang menerima komisen sehingga melebihi RM1 juta. Sehingga 30 Jun lalu, kita telah berjaya melahirkan lima ejen jutawan. Kita mengenal pasti 172 ejen-ejen yang berpotensi untuk meningkatkan pengurusan dan perniagaan, ini termasuk insurans dan takaful. Jumlah tersebut boleh bertambah dan Etiqa yakin 50 jutawan atau lebih akan tercapai.
Bagaimana bentuk cabaran pada tahun hadapan?
Cabaran utama adalah bagaimana hendak menghidupkan jenama Etiqa itu sepenuhnya. Penghayatan jenama itu boleh dilihat masyarakat dan untuk dijadikan budaya. Bagi membudayakan konsep menginsankan organisasi itu adalah sangat mencabar.
Bagi saya cabaran perniagaan bukan sesuatu yang sukar tetapi untuk mengubah masyarakat terhadap takaful dan insurans adalah tanggungjawab berat.
Dari segi perniagaan, bagaimana pula?
Untuk mengimbangkan kedua-dua adalah sangat mencabar. Kami berharap dengan langkah menginsankan organisasi ia dapat menarik minat syarikat lain untuk berbuat demikian dan Etiqa bergerak sebagai pencetus.

……………………………………………………………………………………………………………

Etiqa rancang tembusi Indonesia



KUALA LUMPUR 20 Dis. - Etiqa Insurans dan Takaful Bhd. (Etiqa) sedang meninjau untuk memasuki pasaran Indonesia menerusi rancangan pembelian syarikat insurans di negara itu menjelang separuh pertama tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa, Datuk Aminuddin Md. Desa berkata, pada masa ini syarikat dalam proses mengenal pasti syarikat insurans yang sesuai untuk dimiliki pada harga yang munasabah.
”Etiqa sedang mencari syarikat insurans bersaiz sederhana di Indonesia yang mempunyai infrastruktur asas dengan kakitangan yang tidak melebihi 150 orang.
”Strategi pemasaran kami di negara itu adalah dengan menggunakan lebih 200 cawangan Bank Internasional Indonesia (BII) milik Malayan Banking Bhd. (Maybank),” katanya kepadaUtusan Malaysia di pejabatnya, baru-baru ini.
Etiqa merupakan anak syarikat Maybank.
Tambah Aminuddin, Etiqa akan membeli syarikat insurans konvensional dengan strategi menjual produk takaful melalui konsep jendela.
”Dengan ini, Etiqa dapat menguasai kedua-dua segmen iaitu konvensional dan juga takaful. Sekiranya kami membeli syarikat takaful, Etiqa tidak dapat menjual produk konvensional,” jelasnya.
Mengulas mengenai langkah menembusi pasaran Indonesia dianggap terlewat, Aminuddin menolak pandangan tersebut kerana beranggapan tahun hadapan adalah waktu yang sesuai untuk melaksanakan pemilikan itu memandangkan BII sudah mula menunjukkan prestasi positif.
”Dengan kedudukan BII yang semakin stabil, ia adalah waktu terbaik untuk Etiqa berada di Indonesia,” katanya.
Ditanya mengenai perniagaan lain di luar negara, Aminuddin berkata, Etiqa akan meningkatkan pegangannya dalam Pak Kuwait Takaful Company Ltd. (PKTC), Pakistan kepada 32.5 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini.
Langkah tersebut akan menyaksikan Etiqa menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat tersebut.
”Di Pakistan kami menggunakan pelan strategi selama tiga tahun bermula tahun ini untuk kekal menjadi nombor satu di sana.
”Manakala di Singapura kami akan mengubah strategi dengan menyesuaikan perniagaan mengikut saiz dan mencari kelainan dalam pasaran kerana pasarannya sangat kompetitif,” katanya.


Balu terima pampasan insurans RM19,000

6240308
BUKIT MERTAJAM - Balu seorang pemandu teksi, mendiang R Shanmugam, 55, menerima cek insurans Tabaruk bernilai RM19,000 daripada Etiqa Takaful Berhad, baru-baru ini sebagai pampasan untuk keluarganya meneruskan kehidupan.
R Ally, 51, berkata, suaminya meninggal dunia akibat beberapa penyakit yang dialami, iaitu darah tinggi, kencing manis dan jantung pada bulan Oktober lalu.
Menurutnya, dia dan tiga anaknya kini ibarat hilang tempat bergantung ekoran ketiadaan suami yang sebelum ini merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab dalam menyara kehidupan mereka sekeluarga.
“Saya amat sedih dengan kematian suami, namun pasrah dengan ketentuan tuhan. Kini, saya terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga bagi membesarkan anak-anak kerana perjalanan mereka masih panjang.
“Selain itu, saya perlu bekerja keras untuk menyara kehidupan harian termasuk persekolahan anak-anak,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian cek insurans khairat kematian Shanmugam di hentian teksi Persatuan Persatuan Pemandu Teksi Summit, Bukit Mertajam (BM), di sini.
Ally yang kini bekerja sebagai tukang jahit di salah sebuah kilang membuat pakaian berkata, wang yang diterima itu akan digunakan sebaik mungkin bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga termasuk ketiga-tiga anaknya yang masih bersekolah.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Summit, Bukit Mertajam (BM), Abd Malik Saad berkata, Shanmugam merupakan salah seorang ahli persatuan yang mencarum dalam insurans berkenaan. Namun, pampasan diterima agak lewat berikutan terdapat sedikit masalah yang tidak dapat dielakkan.
Dia berkata, semua ahli dalam persatuan diwajibkan untuk mencarum di dalam insurans itu sebagai jaminan bagi masa depan mereka dan keluarga jika sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, setakat ini, seramai 45 ahli persatuan telah menyertai skim insurans berkenaan dan beliau mengalu-alukan lebih ramai ahli untuk menyertainya termasuk ahli keluarga mereka.
“Mereka tidak perlu khuatir kerana hanya perlu membayar sebanyak RM25 untuk tempoh setahun bagi insurans ini. Dan, jumlah pampasan yang akan diterima pula adalah sebanyak RM19,000.
“Namun, bagi pemandu yang berusia 65 tahun ke atas, mereka perlu membayar RM20 setahun dan jumlah pampasan yang diterima adalah RM3,800 sahaja,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Summit, BM, Mohd Zaki Omar.
Justeru, beliau berharap agar pemandu teksi bersikap lebih terbuka dan berfikir untuk masa depan masing-masing.
“Menyertai skim insurans bukanlah satu perkara sia-sia kerana ia adalah caruman untuk masa depan mereka dan juga keluarga kerana manusia tidak boleh menjangkakan perkara yang bakal berlaku.
Dia berkata, insurans merupakan satu perlindungan agar keluarga yang ditinggalkan tidak hidup dalam kesusahan.
Sinar Harian 

Hadiah terakhir anak


 
mainpix14
SERAH…Rusli (dua dari kiri) menyerahkan cek kepada
Abdillah sambil disaksikan Ruzila (kanan), semalam.





KUALA TERENGGANU: “Mungkin wang ini hadiah terakhir daripada anak untuk kami, Insya-Allah, wang ini akan digunakan sebaik mungkin,’’ kata Ruzila @ Marizan Ishak, 42, ibu kepada seorang remaja, Amirul Azwan Abdillah, 16, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Kesom, Manir di sini, pada Aidilfitri keempat lalu.
Menurutnya, dia bersyukur dengan pemberian wang pampasan RM44,309.26 daripada Etiqa Takaful Berhad (Etiqa) selepas mencarum dalam Pelan Pendidikan Anak-Anak (Sarjana) untuk anak keduanya itu sejak dua tahun lalu.
Katanya, walaupun wang berkenaan tidak dapat mengembalikan anaknya, namun ia tetap bermakna dan akan digunakan untuk pembelajaran dua lagi anaknya yang masih bersekolah.
‘’Wang selebihnya pula akan digunakan untuk mengadakan tahlil bagi mendoakan kesejahteraan arwah,’’ katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Petiti, Manir, dekat sini, kelmarin.
Harian Metro pada 26 September lalu melaporkan Amirul Hazwan yang menunggang motosikal Yamaha LC bertembung dengan sebuah motosikal LAIN di Kampung Kesom, Manir, dekat sini, jam 4.30 petang.

Mangsa yang cedera teruk di kepala dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan hari.
Sementara itu, Pengurus Agensi Kumpulan Etiqa Kuala Terengganu, Rusli Mejah, berkata ibu mangsa yang juga pencarum pelan itu diberikan pampasan berkenaan kerana penama meninggal dunia sebelum layak menerima wang terbabit pada usia ditetapkan.
Menurutnya, sebanyak 70 peratus ibu bapa di negeri ini belum mencarum dengan mana-mana syarikat atau agensi insurans untuk anak mereka.
Katanya, masih ada ibu bapa yang tidak sedar pentingnya mereka menyertai polisi Sarjana Etika Takaful bagi menjamin masa depan anak masing-masing.
“Saya dapati kebanyakan pelajar yang mahu menyambung belajar terpaksa memohon pinjaman bank atau syarikat kredit bagi menampung kos pembelajaran mereka,’’ katanya.
Metro 

Pampasan insurans demi pendidikan, masa depan anak

62502112
Fatimah ( Dua dari kiri ) menerima cek pampasan bernilai RM28,608.27 daripada Pengurus Agensi Kumpulan. Etiqa Takaful Berhad, Azizam Saidina Othman

ALOR SETAR- Wang pampasan yang diterima oleh balu kepada bekas guru, Fatimah Talib, 48, daripada Etiqa Takaful Berhad berjumlah RM28,608.27 akan digunakan sebaiknya untuk pembiayaan pelajaran anak-anak demi masa hadapan mereka.
Fatimah yang menetap di Taman Shahab di sini, berkata, suaminya meninggal dunia dua bulan lalu akibat penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Menurutnya, pampasan yang diterima daripada takaful itu akan digunakan sebaik mungkin terutama bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak seperti yang diamanatkan arwah sebelum pemergiannya.
“Arwah suami saya ada pesan, kalau terima wang pampasan ini, gunakannya untuk menanggung pelajaran anak-anak kerana ia penting demi menjamin masa depan mereka kelak.
“Jadi saya akan ingat pesanan terakhir arwah dan akan menggunakan wang ini untuk pendidikan anak-anak yang kebanyakannya kini masih belajar lagi,” katanya kepada Sinar Harian.
Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, arwah suaminya mula mencarum dengan takaful sejak Julai 2002 dan kini beliau sedar bahawa wang pampasan itu sangat berguna bagi membantunya menyara pelajaran anak-anak tambahan setelah kehilangan suami tercinta.
Menurutnya, kesedaran untuk mencarum itu sangat penting terutama pada saat genting seperti itu.
“Kesedaran memang ada cuma apabila diri sendiri ditimpa musibah, baru kita akan lebih prihatin dengan apa yang berlaku dan berasa ia amat penting bagi setiap orang untuk mencarum demi masa hadapan kerana kita tidak tahu jika sebarang perkara yang tidak diingini berlaku pada bila-bila masa sahaja.
“Selepas ini saya dan anak-anak akan membuat caruman kerana ia membawa kebaikan untuk masa depan semua kerana kita tidak dapat menduga perkara yang bakal berlaku.
“Ia sangat baik sebagai satu perlindungan supaya keluarga yang ditinggalkan tidak hidup dalam kesusahan apabila sesuatu berlaku atas ketua keluarga dan sebagainya,” katanya.
Sinar Harian 25 Disember 2009


etiqalogo


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...