Thursday, November 3, 2011



Konsep syariah yang biasa digunakan di dalam perbankan Islam antara lain;


Mudharabah (Perkongsian Untung)

Suatu pengaturan atau perjanjian di antara pemberi modal dengan pengusaha projek di mana pengusaha projek menggunakan dana untuk menjalankan aktiviti perniagaan beliau. Sebarang keuntungan yang diperoleh akan dikongsi di antara pemberi modal dan pengusaha projek mengikut nisbah yang telah dipersetujui sementara kerugian pula ditanggung sepenuhnya oleh pemberi modal.



Murabahah (Kos Tokok)
Penjualan barangan adalah pada harga yang termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Harga belian dan jualan, kos-kos lain serta margin keuntungan hendaklah dinyatakan dengan jelas semasa perjanjian jualan dilaksanakan.


Wadiah (Simpanan)

Sama seperti akaun simpanan perbankan konvensional, wadiah membolehkan pendeposit mendepositkan dana ke dalam institusi perbankan yang dianggap sebagai penjaga dan pemegang amanah dana. Pihak institusi perbankan akan menjamin pembayaran balik kesemua deposit berkenaan atau sebahagian daripada jumlah belum jelas apabila pendeposit memintanya. Pendeposit mungkin diberi 'hibah' (hadiah) di atas budi bicara institusi perbankan, sebagai satu bentuk penghargaan pihak institusi perbankan kepada pendeposit kerana membenarkan penggunaan dana tersebut.


Musyarakah (Usaha Sama)

Biasanya digunapakai bagi pernigaaan perkongsian atau perniagaan usaha sama untuk sesuatu perusahaan perniagaan. Keuntungan yang diperoleh akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung berdasarkan nisbah sumbangan modal.


Bai’ Bithaman Ajil (Pembayaran Jualan Tertangguh)

Penjualan barang berdasarkan pembayaran tertangguh pada harga tertentu, yang termasuk margin keuntungan yang telah dipersetujui.

Wakalah (Agensi)

Peserta melantik seorang wakil untuk melaksanakan dan menjalankan transaksi bagi pihak beliau.



Qardhul Hassan (Pinjaman Ihsan)

Pinjaman yang diberikan atas semangat ihsan dan peminjam hanya dikehendaki membayar jumlah wang yang dipinjam sahaja. Walaubagaimanapun, di atas budi bicara peminjam, beliau boleh membayar balik pinjaman melebihi jumlahnya (tanpa perlu berjanji untuk berbuat sedemikian) sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjaman.


Ijarah Thumma Al Bai’ (Sewa Beli)

Terbahagi kepada dua perjanjian yang berasingan, perjanjian Ijarah adalah perjanjian pertama di antara kedua-dua perjanjian ini di mana pelanggan akan memajak kereta tersebut daripada pemilik (institusi perbankan) pada kadar sewa yang telah ditentukan terlebih dahulu untuk suatu tempoh tertentu. Pada akhir tempoh pemajakan tersebut, perjanjian kedua atau perjanjian Bai' akan dikuatkuasa untuk membolehkan pelanggan membeli kenderaan tersebut pada harga yang telah dipersetujui.


Bai’ al-Inah (Perjanjian Jual dan Beli Balik)

Penjualan aset kepada pelanggan secara bayaran tertangguh dan serterusnya aset berkenaan akan dibeli kembali oleh pembiaya secara tunai pada harga diskaun.

Hibah (Hadiah)

Sagu hati yang diberi secara sukarela sebagai balasan kepada pinjaman yang diberi atau manfaat yang diterima.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...