Thursday, November 3, 2011


Soalan-Soalan Lazim Takaful Keluarga



Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami:
1. Adakah takaful keluarga hanya dikhaskan untuk orang Islam?
  • Tidak, takaful keluarga terbuka kepada semua individu tidak kira agama yang dianuti. Tidak ada sebarang penambahan daripada segi terma dan syarat yang akan dikenakan kepada peserta bukan Islam.
2. Apakah Akaun Peserta?
  • Akaun Peserta (AP) ialah akaun pelaburan bagi sebahagian daripada ansuran caruman takaful anda yang telah dikreditkan untuk tujuan simpanan dan pelaburan.
3. Apakah Akaun Khas Peserta?
  • Akaun Khas Peserta (AKP) ialah di mana baki daripada ansuran caruman takaful anda telah dikreditkan sebagai caruman penyertaan (tabarru') bagi tujuan pembayaran manfaat takaful kepada mana-mana peserta yang menghadapi musibah disebabkan kematian atau hilang upaya kekal.
4. Apakah rider atau manfaat tambahan?
  • 'Rider' atau manfaat tambahan memberi perlindungan tambahan daripada takaful keluarga asas seperti manfaat hospital dan pembedahan.
5. Apakah rider kematian akibat kemalangan?
  • 'Rider' kematian akibat kemalangan ialah perlindungan yang memberikan manfaat kematian dua kali ganda daripada jumlah perlindungan sekiranya kematian disebabkan oleh kemalangan. Contohnya, jika jumlah perlindungan untuk pelan asas ialah RM10,000, dengan 'rider' ini, waris anda akan menerima sejumlah RM20,000 jika anda meninggal dunia akibat kemalangan.
6. Bagaimanakah caranya untuk saya membuat caruman/sumbangan takaful?
  • Anda boleh memilih untuk membuat ansuran caruman takaful secara bulanan, suku-tahunan, separuh-tahunan atau tahunan. Anda boleh membuat pembayaran melalui arahan tetap bank, potongan gaji atau di mana-mana cawangan pengendali takaful anda.
7. Apakah hilang upaya kekal?
  • Hilang upaya kekal ialah hilang upaya sama ada akibat kecederaan badan atau penyakit yang menyebabkan anda tidak berupaya langsung untuk melakukan sebarang kerja.
8. Adakah saya layak untuk mendapat pelepasan cukai perseorangan jika saya menyertai takaful keluarga?
  • Ya, anda layak untuk mendapat pelepasan cukai perseorangan bila anda menyertai takaful keluarga. Pengendali takaful anda akan mengeluarkan penyata caruman tahunan bagi menyokong penyata cukai pendapatan anda kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...