Bagaimana Takaful Melindungi Perniagaan Anda (Bahagian Pertama)
Di dalam artikel pengurusan risiko sebelum ini, saya ada menyentuh berkenaan bagaimana usahawan boleh mengurangkan serta mengalihkan risiko. Ia penting bagi memastikan perniagaan terus bernafas, manakala usahawan mampu kembali mengatur strategi perniagaan.
Majalah Sokmo kali ini akan membawakan artikel pertama pengurusan risiko daripada perunding takaful yang berpengalaman lama di dalam bidang ini. Beliau akan berkongsi tips dan kaedah praktikal bagaimana anda mampu menguruskan risiko yang akan menjadi talian hayat perniagaan anda.
Sering kita mendapat maklumat tentang takaful sebagai satu jenis perlindungan, simpanan dan juga untuk perubatan peribadi dan keluarga, akan tetapi masih ramai yang belum mendapat maklumat mengenai bagaimana cara takaful boleh membantu anda dalam sesebuah perniagaan, apa kepentingannya kepada perniagaan anda, apa signifikan yang terkandung dalam pelan takaful yang dapat membantu perniagaan anda malah sekaligus untuk generasi anda.
Suka untuk saya membawa mengenai pengertian takaful dalam bicara ini kerana ia membantu kita memahami konsep takaful yang sebenar. Takaful membawa maksud “Pakatan untuk saling tolong-menolong dan jamin-menjamin antara sesama ahli di dalam satu kumpulan“. Secara praktikalnya, setiap peserta yang menyertai takaful dengan secara ikhlas akan memberi sumbangan kepada peserta yang lain yang ditimpa musibah, begitu juga jika musibah tersebut terjadi kepada anda sebagai peserta skim perlindungan takaful yang anda sertai.
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 240, Allah Ta’ala berfirman:
“Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana“
Manakala dalam Surah Yusuf ayat 47-48, Allah Ta’ala berfirman:
“Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh 7 tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam (tuai) biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. “Kemudian akan datang selepas tempoh itu, 7 tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)“
Dari dua petikan ayat Al-Quran di atas, jelas bagi kita untuk mempunyai satu bentuk simpanan atau “back-up” dari julat masa setahun hingga 14 tahun lamanya. Oleh yang demikian, “back-up” dalam bentuk saham, simpanan, emas, stok dll juga termasuk dalam bentuk simpanan yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran, begitu juga “back-up” dalam bentuk perlindungan Takaful.
Dalam konteks perlindungan takaful di dalam sesebuah perniagaan, sering kita mendapati bahawa perlindungan diberi adalah jenis “skim takaful kelompok” dimana perlindungan yang diberikan adalah kepada pekerja dan pengusaha itu sendiri. Perlindungan tersebut lebih kepada kemudahan menerima perubatan, khairat kematian, pampasan kemalangan di tempat kerja dan bermacam lagi. Bagaiman pula perlindungan untuk pengusaha, lebih-lebih lagi bagi mereka yang membuka perniagaan “Pemilikan Tunggal” dan juga “Perkongsian“?.
Pernahkan anda terfikir apa akan terjadi kepada perniagaan anda jika anda ditimpa musibah (meninggal dunia), bagaimana nasib dengan keluarga anda yang ditinggalkan? bagaimana pusingan modal? dan tidak lupa hutang-piutang yang masih belum dijelaskan?, dan lain-lain lagi. Persoalan-persoalan ini perlu dijawab segera kerana banyak kisah tersiar dalam suratkhabar, media massa mengenai perkara ini.
Kes Studi 1
Ahmad seorang Doktor yang berumur 38 tahun dan mempunyai sebuah perniagaan “Pemilikan Tunggal” iaitu Klinik Ahmad yang beroperasi sejak tahun 2005 di Tanjung Malim. Ahmad mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan 3 orang anak yang sedang meningkat remaja. Pendapatan Ahmad setiap bulan lebih kurang RM 6,000 hingga RM 8,000 sebulan. Pada Jun 2010, Ahmad telah mengalami kemalangan jalanraya dan menyebabkan beliau lumpuh separuh badan (lumpuh kekal). Pada ketika ini Klinik Ahmad tidak dapat operasi walaupun terdapat “Locum Doctor” (Doktor sambilan) yang bertugas di klinik tersebut, tetapi pengurusan Klinik Ahmad mengalami masalah kewangan kerana bagi membiayai kos perubatan Ahmad dan perbelanjaan keluarga Ahmad. Maka akhirnya Klinik Ahmad dijual kepada Doktor yang lain.
Dalam kes ini, secara ringkas, seorang wakil takaful akan mencadangkan agar Ahmad mengambil skim takaful “Perlindungan Pendapatan” (sebelum Ahmad ditimpa kemalangan) mengikut julat pendapatan setahun hingga 14 tahun (mengambil iktibar dari dua ayat Al-Quran di atas), katakanlah purata pendapatan Ahmad sebulan ialah RM 7,000 maka pendapatan Ahmad setahun ialah sebanyak RM 84,000, untuk 14 tahun sebanyak RM 1,176,000. Oleh yang demikian, julat “perlindungan pendapatan” yang perlu Ahmad miliki adalah di antara RM 84,000 hingga RM 1,000,000.
Kebiasaannya, wakil takaful akan memberi pilihan agar Ahmad mengambil skim takaful perlindungan sebanyak maksimum yang mungkin iaitu perlindungan sebanyak RM 1,000,000. Dalam skim ini, Ahmad tidak perlu membuat sumbangan RM 1,000,000 untuk perlindungannya, tetapi beliau hanya perlu membuat sumbangan sebanyak RM 1,200 sebulan atau RM 14,000 setahun bersamaan perlindungan sebanyak RM 1,000,000 (berdasarkan ilustrasi 3.1 Syarikat Etiqa Takaful Berhad).
Akan tetapi, Ahmad boleh membuat pilihan yang lebih rendah seperti perlindungan sebanyak RM 500,000 yang memerlukan sumbangan sebanyak RM 800 sebulan atau RM 9,600 setahun bersamaan perlindungan sebanyak RM 500,000 (berdasarkan ilustrasi 3.1 Syarikat Etiqa Takaful Berhad).
No comments:
Post a Comment